

Namun yang paling mengkagumkan aku ialah sikapnya yang kuat berusaha, seorang yang gigih. Dia bukanlah seorang pelajar yang bijak, jauh sekali cemerlang. Tahapnya amat sederhana. Setiap kali keputusan peperiksaan keluar seperti UPSR, PMR dan SPM, kami tidak pernah mengkritik atau memarahinya kerana kami semua tahu di mana kedudukannya. Namun ada yang boleh dibanggakan dengan keputusan SPM nya apabila subjek matematiknya mendapat gred A.
Kesungguhan dan ketekunannya amat terserlah. Kadang-kadang jatuh kasihan melihat kesungguhannya mengulangkaji pelajaran. Perasaan terharu juga dirasai bila dia saban malam melakukan solat sunat hajat. Tiap kali peperiksaan ketika di sekolah atau di Politeknik dia pasti menelefon emak dan meminta emak melakukan solat hajat untuknya. Aku pernah berpesan padanya bahawa dia perlu menjadi orang yang sangat kuat, rajin dan tekun beribu kali ganda dari orang lain jika dia mahu berjaya. Alhamdulillah dia melakukannya.