Saturday, June 20, 2009

Toilet???


Mendidik anak bukanlah mudah. Terutama anak-anak zaman globalisasi yang canggih manggih ni. Aku pun kadang-kadang banyak juga ikut emosi. Al-maklumlah sehari suntuk mengajar anak orang bila balik nak ajar sendiri rasa tak upaya aje. Hehhehehe

Hari ini aku menegur cik kak aku sorang tu. Asyik depan tv aje. Tom-tom bak, tom-tom bak..rasa nak tombak aje minah kecik ni. Dari awal lagi aku suruh dia ulangkaji pelajaran. Ok dia kata. Tapi dok dengar suara dia terkekek-kekek tengok tv. Biar je la. Aku naik ke atas , aksi biasa la sambil tengok tv sambil membaca.

Selesai kerja rumah aku naik ke atas semula. Hati aku dah meruap-ruap melihat dia masih lagi dengan cara yang sama. Bila aku sound je dia mula tarik muka 14 dan tutup tv. Terus aje dia capai buku. Aku teruskan mengemas bilik atas, vacum apa bendalah. Anis dah terjerit-jerit memanggil kakaknya bila dia tengok kakak dia tu dah tak de dalam bilik. Aku pulak ingatkan dia turun ke bilik bawah study.

Sedang khusuyuk aku vacum bilik tiba-tiba suami aku balik dan mengajak kami untuk makan di luar. Melihat jam dah pukul 2.30 ptg. Aku masih lagi vacum bilik ku sampai la ke pintu toilet. Sedang aku terbongkok-bongkok aku tertolak pintu dan apa yang aku saksikan.....Adusss Nia sedang tidur dalam toilet dengan buku-bukunya. Sengal ke apa budak ni. Aku ingatkan dia di bilik bawah rupanya dalam toilet.

Dia kata dia dah buat latihan lepas tu tertidur. Macam-macam betul la minah ni. Tak tercapai dek akal aku pun dia akan berada di tempat yang paling syahdu tu. Tahu la toilet tu luas, tapi banyak lagi tempat lain untuk merajuk.Poning kepalo den....

Cerita Nia


Tahun ni malas betul aku nak update blog nih. Walaupun berkepuk-kepuk cerita yang aku ada. Tapi hari ini aku rajinkan jari-jemariku ini untuk menaip tentang seseorang.

Siapa lagi kalau tak buah hatiku seorang tu, Hanania. Peperiksaan pertengahan tahun yang baru lepas result dah dapat. Memerhatikan cara dia study aku dah dapat agak dah apa keputusan yang dia akan perolehi. Last minute!. Seminggu nak exam baru terkial-kial. Aku pun satu jugak tahun ni rasa sibuk je dan kepenatan mungkin jugak disebabkan aku dah ada budak kecil Anis ni. So kalau selama ni aku memang menghabiskan masa bersama anakku mengulangkaji pelajaran, tapi tahun ni aku kononnya nak ajar dia berdikari. Tapi , biasalah budak tu. Belajar sambil tengok tv, sambil berbaring.Macam-macam aksi lagi la.

Hari Isnin lalu sebaik sahaja dia sampai ke rumah dia terus bersuara, "mama rotan la nia, nia rela kena rotan sebab result nia tak bagus". Hah! aku nak ketawa berdekah-dekah di situ tapi aku control je la.

"Rotan bukanlah cara penyelesaiannya ". Aku menjawab dan selepas itu mula lah khutbahku. Akhir sekali selepas mendengar khutbah aku, dia menjawab, "mama ni nia dah katakan rotan je lah tak payah nak berleter panjang-panjang". Heeee begitulah budak zaman sekarang. Lepas ni terpaksalah aku ikut cara lama. Belajar bersama Hanania!

Wednesday, May 27, 2009

Rumit dan Simple


BUKU HARIAN ISTERI


Malam Minggu - Dia berkelakuan aneh. Sebelumnya kami berjanji bertemu di Cafe. Aku shopping seharian dengan kawan-kawan, sehingga mungkin dia kesal karena aku agak lewat sampai di Cafe, tapi dia tak bercakap.Dia tak bercakap langsung, jadi aku ajak dia pergi ke tempat yang agak sunyi supaya kami dapat berbincang, dia setuju tapi tetap diam membisu. Aku tanya apa yang salah - dia jawab, "Tak ada".Aku tanyakan apakah kesalahan ku yang membuatnya kesal. Dia kata hal ini tak ada kaitannya dengan ku dan minta aku tak usah sibuk. Dalam perjalanan pulang, ku katakan aku mencintainya, dia cuma tersenyum tipis dan tetap membisu. Aku tak dapat menjelaskan perangainya petang itu. Aku tak habis-habis berfikir kenapa dia tak menjawab, "Aku cintakamu juga".Sesampainya dirumah, aku merasa kehilangan dia, dan seolah-olah dia tak menghendaki ku lagi. Dia hanya duduk dan nonton depan TV; dia terlihat jauh dan menghilang.. ...Akhirnya aku putuskan untuk tidur. Lebih kurang 10 minit kemudian, dia masuk ke kamar. Aku tak tahan lagi, ku putuskan untuk menghadapinya dan menanyakan soal sebenarnya, tapi dia langsung tertidur. Aku mulai menangis sampai tertidur. Aku tak tahu apa yang harus ku lakukan.Hidupku terasa bergoncang.. ...


BUKU HARIAN SUAMI

Hari ini CHELSEA kalah. SIOTTT!!! TULLL...

Rumitnya seorang isteri, dan simplenya seorang suami...jadinya kena selalu berfikiran positif...barulah tercipta rumahku syurgaku!

Thursday, May 21, 2009

2 kali tak sangka



Tahun ni rezeki untuk aku la agaknya.Hari tu budak-budak PSS dah buat birthday party untuk aku walaupun simple tapi amat bermakna. 18 Mei hari tu aku sekali lagi dikejutkan oleh pelajar-pelajar 3 Ibnu Sina apabila mereka turut meraikan birthday aku. Aku memang dah dimaklumkan bahawa mereka akan mengadakan jamuan, jadi hari kejadian aku duduk ajelah dalam library sambil buat kerja. Jamuan bermula pukul 9.40 pagi ingatkan pukul 10.00 baru aku nak pergi, biar mereka mula dulu. Tapi..tiba-tiba muncul mula Izzati dalam keadaan termengah-mengah dan berpeluh tak suruh duduk dia dah duduk macam kena kejar dengan hantu keliwoon je.Hehheheh. "Cikgu, satu sekolah saya cari cikgu.Penatnya", ucap Izati termengah-mengah. "Ler kamu ni macam tak tahu pulak nak cari saya kat mana. Apasal pulak nak cari saya ni". Aku dah naik hairan. "Nak ajak cikgu pergi jamuan tu la, semua orang dah tunggu cikgu". Mata aku dah bulat memandang dia."Aikk..kan guru kelas kamu dah ada, kenapa tak mula lagi, mula je la.Nanti saya datang la"."Tak boleh, cikgu kena ikut jugak sekarang". Aku pun terus la mencapai beg. Sampai je di sana mereka tengah menunggu kedatangan aku. Umira dan pelajar-pelajar lain sedang menunggu di muka pintu sambil memegang kek. Alah..malunya aku, apasal la budak-budak ni buat cam ni.Aku mengomel dalam hati. Cikgu Fadhil, Kak Ros, Kak Siti, Kak Akmal , Mariatun semua bangun sambil pelajar-pelajar menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.Hish segan tahap gaban betul. Tapi rasa terharunya. Agak-agaknya tiap-tiap tahun aku dapat makan kek free ke? Anyway thank u very much. Sayang kamu semua!!!

Sekitar Hari Guru 2009

Lari jangan tak lari. kutip air yang jatuh tu Rohaizad...
Kemahiran meniup dan kemudian mencucuk belon sampai pecah.
Aksi melontar kelapa
Boss kami yang sporting..

Hari Guru tahun ni aku tak beria sangat mengambil bahagian dalam sukaneka sebab sibuk ambik gambar. Ada la dua acara aku masuk, boling kelapa dan golf kampung. Huhuuuuu semuanya dapat mata.Hari ini la pelajar-pelajar dapat melihat guru-guru mereka berlari dan mungkin melompat ke sana -sini kerana acara-acara padang yang disediakan oleh badan pengawas. Memang berpeluh-peluh dan yang paling menarik sebenarnya cikgu memang suka mengelat. Acara tiup belon dan pecahkan belon memang semuanya membawa jarum peniti belum pun belon tu besar terus dicucuk. Itu la kalau buat sukaneka untuk guru-guru ni, semangat nak menang memang berkobar-kobar dengan menggunakan macam-macam helah. Kesian aku tengok muka-muka pengawas yang menjadi pengadil, tak dapat nak mengaplikasi sifat-sifat pengadil. Tapi tak pe itu la namanya semangat kesukanan dan mesra alam. Ok la layan la gambar-gambar ni.Bye...

Friday, May 8, 2009

Tidak Kusangka




Rasanya hari ni la hari yang paling haru dan biru bagi aku. Namun hari ini juga hari yang paling touching dalam hidup ku. Sungguh mengharu lagi menyentuh perasaan. Rasanya bila menikmati saat-saat begini menjadi guru adalah perkara yang paling bermakna.

Dalam kesibukan dan kelegaan menyelesaikan majlis pelantikan pengawas, aku mendapat kejutan ini. Memang tak kusangka dan tak kuduga. Almaklumlah aku bukanlah guru yang mesra alam sangat dengan pelajar, antara yang serius dan kadang-kadang aku juga garang. Pengawas PSS ku pun sebahagian sahaja yang benar-benar berani untuk bersemuka denganku jika ada hal atau perkara.

Bila loceng rehat tamat aku mula rimas melihatkan pengawas PSS masih berkeliaran dan makin lama makin ramai terutama pengawas menengah atas. Aku mula naik hairan biasanya budak-budak ni susah nak datang ke library kecuali waktu bertugas. Itu pun sekejap je, buat apa yang patut tulis nama, tandatangan dan keluar. Hari ni naik pelik pulak aku. Lepas tu mereka dok tersengih-sengih memandang aku yang sibuk dengan fail dan dokumen.

Tambah lagi la hairan aku bila aku suruh mereka masuk kelas masing-masing buat tak tahu sahaja. Aku dah naik risau macam buang tabiat pulak budak-budak ni lepas majlis pelantikan.
Kerimasan aku tahap kritikal apabila mereka masuk keluar dari bilikku.

Malas aku nak melayan, hinggalah Hanizah datang dan bertanya sama ada aku masih lagi sibuk. Aku mengatakan aku sedang bersiap untuk masuk kelas 1/2 jam lagi. Dia meminta aku keluar sebentar. Macam biasa la aku memang kepenatan dan malas nak melayan, aku cakap apa-apa hal masuk aje bincanga dalam bilik.

Jeng....jeng..tiba-tiba kumpulan pelajar itu masuk sambil membawa kek coklat dan 3 batang lilin kecil atasnya sambil menyanyikan lagu "happy birthday". Aku terkebil-kebil sambil siap lagi berfikir budak-budak ni mengingau ke apa. Birthday aku 8 hari lagi.

Aku siap cakap lagi "birthday saya lambat lagi, kan 16 mei", jawab Hanizah "kami exam nxt week jadi kami cepatkan". Huwaaa malunya aku..aku mati-mati ingat budak-budak ni hilang ingatan ke hapa. Terkedu sebentar. Api lilin yang menyala-nyala mula terpadam. Pengawas lelaki mula riuh menyuruh menyalakan semula lilin tersebut dan menyuruh aku meniup dan memotong kek.

Rupanya mereka telah membuat persiapan yang aku sendiri pun tak sedar. Di luar mereka mengeluarkan priing dan cawan kertas, kek, bihun dan karipap. Kalau la aku tahu tak la aku makan kenyang sangat di kantin tadi. Nak menjaga hati aku makanlah jugak. Rezeki cikgu Sree dan Normi mereka ada di library ketika itu jadi tumpanglah semangkuk. Hehhehe

Wah syahdunya. Budak-budak ni boleh ingat birthday aku. Ada orang yang paling penting dan hampir dalam hidup kita pun kadang-kadang lupa. Aku dah bercadang lepas ni aku nak buat jamuan untuk budak-budak ni sebelum puasa. Oh bestnya hari ini.....terima kasih semuanya.

Thursday, April 2, 2009

Pergi Takkan Kembali

Rasanya sudah berbulan blog ini tidak diupdate. Alasan yang paling kukuh ialah ketiadaan masa dan kekeringan idea. Apabila idea tiba masa pula yang tidak mengizinkan. Bila masa ada , idea aku pula yang kering kontang.

Apa pun hari ini aku menguatkan juga semangat untuk menulis, sebelum segala yang aku ingin rakamkan hilang terus. Catatan ini khusus untuk mengenang arwah abang iparku yang telah kembali ke rahmtullah pada 03 Mac 09 yang lalu.

Dalam usia yang begitu muda, 47tahun dia telah pergi dahulu. Agak terkejut sebenarnya terutama suamiku yang amat rapat dengan arwah. Lapan hari dia berada di hospital. Tiga hari pertama dia sendiri meminta untuk ke Kuantan Medical Centre apabila tidak tertahan menanggung sakit di bahagian kakinya. Arwah sempat menghantar sms kepada suamiku memaklumkan hal itu dan sehingga kini suamiku masih menyimpan sms itu (untuk kenangan).

Hari kedua arwah masih lagi boleh berbual melalui telefon dengan suamiku, walaupun suaranya kedengaran agak lemah. Hari ketiga, selepas pulang dari pejabat suami mengajak aku dan Nia untuk terus ke KMC. Sesampai kami di sana arwah sedang dialisis. Kami sebenarnya amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa arwah dialisis, ini menunjukkan buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik.

Mendengar perkataan dialisis itu aku sebenarnya gerun. Arwah abah aku meninggal pun sebab buah pinggang setelah sehari didialisis. Kak Ana (isteri arwah) bertanya sama ada dialisis itu hanya untuk sementara waktu. Kak Ana agak keliru sebenarnya, aku ingin menyatakan yang sebenarnya bahawa Arwah Uda (panggilan untuk arwah) mengidap penyakit buah pinggang sebab itu dia dialisis. Tapi Kak Ana menyangkal dengan menyatakan hanya untuk mencuci darah sahaja. Melihat keadaan kak Ana yang banyak menangis dan seperti tidak dapat menerima kenyataan aku hanya mengiayakan sahaja. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah memberi kata-kata yang positif.

Apabila Uda dimasukkan ke bilik, keadaanya cukup lemah. Bahagian perut arwah ditebuk untuk proses dialisis tersebut. Kak Ana menangis sambil cuba menggerakkan arwah. Aku menyabarkan kak Ana, mengatakan bahawa selepas dialisis pesakit memang merasa lemah. Pengalaman dengan arwah abah banyak memberi aku maklumat tentang dialisis ini. Bagi memuaskan hati Kak Ana, doktor yang berada di situ turut menggerakkan uda, apabila uda celik dan mula bercakap barulah kak Ana tenang dan lega mungkinnya.

Melihat kaki uda yang lebam kebiruan dan lebam kebiruan itu telah melarat sehingga ke pinggangnya. Dalam hatiku mengatakan bahawa kemungkinan besar uda juga mengalami diabetes tetapi tidak menyedarinya. Aku dan suami berpendapat sama melihatkan cara pemakanannya arwah yang amat gemar meminum air pepsi. Masih ingat lagi kata-kata arwah padaku "kalau minum air biasa rasa tak puas, nak jugak air pepsi", aku hanya tersenyum mendengar kata-kata itu. Dalam hatiku berbisik samalah seperti minat arwah abahku yang suka sangat minum air berkabonat.

Keesokan harinya Kak Ana memaklumkan pada kami bahawa Uda dimasukkan ke HTAA. Itu pun suami aku yang sarankan sebab bil di KMC untuk tiga hari sahaja telah mencecah RM7500. Hari Jumaat suamiku mengambil cuti separuh hari dan kami kembali semula ke Kuantan. Kami dimaklumkan bahawa keadaan Uda tidak stabil dan doktor mengatakan harapan untuknya adalah tipis, cuma menunggu masa sahaja.

Uda sememangnya seorang kuat dan cekal. Melihat keadaan kakinya itu bukan calang-calang orang yang dapat bertahan. Kita yang melihat pun merasa amat sakit, ini kan dia yang menanggung. Namun dia hanya senyap dan diam sahaja tidak mengaduh lansung tentang sakitnya. Apabila kami masuk melihatnya, dia masih sempat bergurau dengan Hanania. Dia masih mengenali semua orang dengan baik dan jelas termasuklah ibuku,itulah perkara yang mengkagumkan aku. Beberapa kali dia meminta untuk keluar dari hospital, beberapa kali jugak dia menyatakan pada suamiku supaya berkemas kerana dia ingin balik.

Akhirnya kata-katanya itu menjadi kenyataan apabila dia telah 'balik' tepat pukul 7.15 malam pada hari Selasa, 03 Mac 09. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini aku mula rasa kehilangan orang-orang terdekat. 2003 arwah mak tuk pergi, kemudian disusuli dengan bapa mertuaku, mak dan ayah saudaraku, abah dan kini uda. Mati itu sebenarnya pasti, amat pasti cuma kita tidak tahu bila dan bagaimana. Apa yang mampu kita lakukan agar pengakhiran kita sesuatu yang baik dan menyenangkan. Dalam masa yang amat singkat ini marilah kita berbuat baik tanpa sekelumit benci.

Al-Fatihah.