Wednesday, May 11, 2011

Coretan setelah tamat kelas

Berhadapan dengan pelbagai ragam pelajar , pelbagai rasa yang wujud. Kadang -kala rasa marah, geram, seronok , lucu dan kadang-kala kasihan.  Sepanjang 12 tahun mengajar pelbagai rasa itu sentiasa wujud malah ia kadang-kala teradun menjadi satu.  Kalau boleh ditulis ia mampu menghasilkan sebuah novel.  Pengalaman setiap tahun mengajar pelajar-pelajar kelas 'hujung' bukan sahaja menguji kesabaran dan kewibawaan malah ia membawa pada satu situasi yang berbeza.  Pelajar-pelajar sebegini bukan sahaja memerlukan seorang guru , malah lebih dari itu mereka memerlukan sahabat untuk berkongsi cerita.

Apa yang pasti masalah disiplin dalam kalangan pelajar sebenarnya amat berkait rapat dengan cara mereka dididik di rumah oleh ibu bapa. Pelajar-pelajar yang bermasalah ini kebanyakannya mempunyai 'masalah' di rumah mereka sendiri. Kebiasaanya mereka datang dari keluarga yang bermasalah seperti berlaku perceraian. Mereka tiada tempat untuk mengadu, bila ibu bapa sibuk dengan masalah dan mengikut haluan masing-masing. Mangsanya anak-anak yang 'terpaksa' mengubah arah kepada rakan-rakan di luar rumah, tempat-tempat melepak untuk menghilangkan kebosanan dan ini seterusnya membawa kepada pelbagai aktiviti yang kurang sihat seperti merokok, menghidu gam, merempit, malah yang lebih teruk terlibat dengan dadah.

Oleh itu tidak hairanlah jika kelakuan atau perangai pelajar-pelajar sebegini menjadi liar dan ganas. Berpeluang bersembang dengan pelajar-pelajar sebegini anda jangan terkejut jika mereka bercerita melakukan perkara yang diluar minda.   Amat ngeri apabila seorang pelajar bercerita tentang rakannya yang memang nakal suka mendera kucing. Kucing tersebut dipusing-pusing dan akhirnya dicampak. Oh..begitu tandusnya jiwa pelajar itu, seoalah tiada rasa kemanusiaan  Tatkala mereka bercerita tentang kegiatan mereka di luar rumah pada waktu yang tidak sepatutnya, persoalan yang terlintas di minda ialah di mana ibu bapa mereka ketika itu? Waktu yang seharusnya mereka berada di rumah bersama keluarga, bersama buku pelajaran tetapi mereka masih bepeleseran. Macam-macam cerita pelajar-pelajar ini. Semuanya kadang-kadang membuatkan kita sebagai orang dewasa yang waras akan terpana.

Namun untuk menyalahkan ibu bapa seratus peratus pun bukanlah satu perkara yang bijak.  Pernah apabila ditanya mengapa tidak solat atau puasa , pelajar berkenaan menjawab bahawa ayahnya sendiri pun tidak solat dan berpuasa. Tetapi itu bukanlah satu alasan yang munasabah.  Di sekolah telah diajar segalahnya berkaitan hukum halal dan haram, wajib atau tidak.  Kita semua diberi akal yang waras oleh Allah untuk berfikir, mana baik dan buruk.

Apa yang pasti pelajar-pelajar yang bermasalah ini mempunyai motivasi yang rendah. Bila mereka dilingkungi dengan kehidupan bermasalah , mereka turut mengikut arus masalah tersebut menyebabkan mereka tidak ada kesedaran untuk keluar dari kepompong masalah itu dengan melakukan perkara yang bermanfaat. Sebagai seorang guru apabila berbicara tentang masalah dengan pelajar aku sering menyatakan bahawa 'hidup ini adalah deretan-deretan dugaan, cabaran dan masalah. Untuk terus hidup kita kena jadi kuat dan menghadapi segalanya bukan membiarkan  diri kita mengikutn arus" Entah mereka faham entah tidak, tapi yang pasti sebagai seorang guru aku amat mengharapkan mereka ini akan berubah menjadi yang terbaik suatu hari nanti. Mungkin ketika ini mereka masih lagi belum matang (sekadar memujuk hati). Ya semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk menuju kebenaran.


No comments: