Thursday, April 2, 2009

Pergi Takkan Kembali

Rasanya sudah berbulan blog ini tidak diupdate. Alasan yang paling kukuh ialah ketiadaan masa dan kekeringan idea. Apabila idea tiba masa pula yang tidak mengizinkan. Bila masa ada , idea aku pula yang kering kontang.

Apa pun hari ini aku menguatkan juga semangat untuk menulis, sebelum segala yang aku ingin rakamkan hilang terus. Catatan ini khusus untuk mengenang arwah abang iparku yang telah kembali ke rahmtullah pada 03 Mac 09 yang lalu.

Dalam usia yang begitu muda, 47tahun dia telah pergi dahulu. Agak terkejut sebenarnya terutama suamiku yang amat rapat dengan arwah. Lapan hari dia berada di hospital. Tiga hari pertama dia sendiri meminta untuk ke Kuantan Medical Centre apabila tidak tertahan menanggung sakit di bahagian kakinya. Arwah sempat menghantar sms kepada suamiku memaklumkan hal itu dan sehingga kini suamiku masih menyimpan sms itu (untuk kenangan).

Hari kedua arwah masih lagi boleh berbual melalui telefon dengan suamiku, walaupun suaranya kedengaran agak lemah. Hari ketiga, selepas pulang dari pejabat suami mengajak aku dan Nia untuk terus ke KMC. Sesampai kami di sana arwah sedang dialisis. Kami sebenarnya amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa arwah dialisis, ini menunjukkan buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik.

Mendengar perkataan dialisis itu aku sebenarnya gerun. Arwah abah aku meninggal pun sebab buah pinggang setelah sehari didialisis. Kak Ana (isteri arwah) bertanya sama ada dialisis itu hanya untuk sementara waktu. Kak Ana agak keliru sebenarnya, aku ingin menyatakan yang sebenarnya bahawa Arwah Uda (panggilan untuk arwah) mengidap penyakit buah pinggang sebab itu dia dialisis. Tapi Kak Ana menyangkal dengan menyatakan hanya untuk mencuci darah sahaja. Melihat keadaan kak Ana yang banyak menangis dan seperti tidak dapat menerima kenyataan aku hanya mengiayakan sahaja. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah memberi kata-kata yang positif.

Apabila Uda dimasukkan ke bilik, keadaanya cukup lemah. Bahagian perut arwah ditebuk untuk proses dialisis tersebut. Kak Ana menangis sambil cuba menggerakkan arwah. Aku menyabarkan kak Ana, mengatakan bahawa selepas dialisis pesakit memang merasa lemah. Pengalaman dengan arwah abah banyak memberi aku maklumat tentang dialisis ini. Bagi memuaskan hati Kak Ana, doktor yang berada di situ turut menggerakkan uda, apabila uda celik dan mula bercakap barulah kak Ana tenang dan lega mungkinnya.

Melihat kaki uda yang lebam kebiruan dan lebam kebiruan itu telah melarat sehingga ke pinggangnya. Dalam hatiku mengatakan bahawa kemungkinan besar uda juga mengalami diabetes tetapi tidak menyedarinya. Aku dan suami berpendapat sama melihatkan cara pemakanannya arwah yang amat gemar meminum air pepsi. Masih ingat lagi kata-kata arwah padaku "kalau minum air biasa rasa tak puas, nak jugak air pepsi", aku hanya tersenyum mendengar kata-kata itu. Dalam hatiku berbisik samalah seperti minat arwah abahku yang suka sangat minum air berkabonat.

Keesokan harinya Kak Ana memaklumkan pada kami bahawa Uda dimasukkan ke HTAA. Itu pun suami aku yang sarankan sebab bil di KMC untuk tiga hari sahaja telah mencecah RM7500. Hari Jumaat suamiku mengambil cuti separuh hari dan kami kembali semula ke Kuantan. Kami dimaklumkan bahawa keadaan Uda tidak stabil dan doktor mengatakan harapan untuknya adalah tipis, cuma menunggu masa sahaja.

Uda sememangnya seorang kuat dan cekal. Melihat keadaan kakinya itu bukan calang-calang orang yang dapat bertahan. Kita yang melihat pun merasa amat sakit, ini kan dia yang menanggung. Namun dia hanya senyap dan diam sahaja tidak mengaduh lansung tentang sakitnya. Apabila kami masuk melihatnya, dia masih sempat bergurau dengan Hanania. Dia masih mengenali semua orang dengan baik dan jelas termasuklah ibuku,itulah perkara yang mengkagumkan aku. Beberapa kali dia meminta untuk keluar dari hospital, beberapa kali jugak dia menyatakan pada suamiku supaya berkemas kerana dia ingin balik.

Akhirnya kata-katanya itu menjadi kenyataan apabila dia telah 'balik' tepat pukul 7.15 malam pada hari Selasa, 03 Mac 09. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini aku mula rasa kehilangan orang-orang terdekat. 2003 arwah mak tuk pergi, kemudian disusuli dengan bapa mertuaku, mak dan ayah saudaraku, abah dan kini uda. Mati itu sebenarnya pasti, amat pasti cuma kita tidak tahu bila dan bagaimana. Apa yang mampu kita lakukan agar pengakhiran kita sesuatu yang baik dan menyenangkan. Dalam masa yang amat singkat ini marilah kita berbuat baik tanpa sekelumit benci.

Al-Fatihah.