Satu kotak buku dari Institut Terjemahan Negara Malaysia menambahkan lagi koleksi buku di PSS sekolah ini. Namun aku amat tertarik dengan sebuah buku puisi yang ditulis A.Wahab Ali. Ini kali pertama aku membaca puisi atau hasil penulisan A.Wahab Ali yang telah dianugerahkan S.E.A.Write Award pada tahun 1994. Sempat aku membaca beberapa puisi dan ternyata ada beberapa puisi yang menyentuh perasaan, yang menyentak naluri kecilku ini.
Tuhanku
semakin umur melaju
pejal pertahanan
merapuh
tinggal kental hanya
pengalaman
berat dihela
ke hari pertimbangan
tuhanku
akulah manusia berdosa
menyorokkan mukaku
yang mesti kau lihat
kerana semakin aku mencarimu
semakin jauh meninggalkan
tuhanku
kau maha pengasih
hanya akulah pelarian
menjarakkan ruang cinta
yang kau sediakan
tuhanku
hanya kau maha tahu
ampunkan aku dalam taubatku
amin!
1976.
Sesungguhnya, kita manusia sentiasa melakukan dosa yang tersurat dan tersirat. Semoga Allah mengampuni kita yang selalu lalai dan leka ini.
Jam sudah menunjukkan 10.55 pagi, aku perlu beredar segera, Bangi menggamit diriku. Jumpa lagi!
Semoga anda semua diberkatiNya.