Sunday, February 13, 2011

Rindu


Hari ini sampai ke rumah dalam pukul 10.30 pagi. Nia ke kelas tuition, mr.hubby pula ada hal di luar, dan rumah pula bersepah-sepah. Oh pening kepala...entah kenapa hari ini, perasaan bersalah menerpa dalam diri. Terutama terhadap Nia. Kalau dahulu aku sering menemaninya menyiapkan kerja sekolah,selalu menyemak kerja sekolahnya, selalu memastikannya membuat latihan untuk setiap subjek, selalu bercerita dan bergurau sebelum tidur. Tetapi sekarang semuanya sudah tidak terbuat lagi. Betapa rindunya saat-saat itu. Betapa pantasnya masa berlalu dan betapa segalanya menjadi begitu sibuk semenjak aku belajar.

Semuanya kelihatan begitu sibuk. Setiap Isnin hingga Khamis, Nia perlu menjalani latihan bola jaring hingga pukul 6 petang. Malamnya dia akan ke kelas tambahan sekolah hingga pukul 10 malam. Jumaat malam tuition lagi. Ahad pun tuition lagi dari pukul 8 hingga 1.30 ptg. Malam Ahad pun tuition lagi di rumah guru Bahasa Inggerisnya. Oh, aku rasa macam mendera anak pula, habis masanya untuk bersama kami. 

 Cuma masa yang kurebut bersamanya ialah ketika makan malam pada pukul 6.30 ptg.   Di meja makan itulah dapat berbual-bual dengannya. Memang jelas kepenatan dari raut wajahnya. Tapi bola jaring itu pilihannya. Dari tahun 3 hingga tahun 6 dia pergi menjalani latihan pemilihan untuk pasukan sekolahnya itu. Tak sanggup melihat air mukanya yang kecewa apabila saban tahun itu dia tidak terpilih. Alhamdulillah tahun ini dia terpilih (mungkin cikgu kesian kot...haha). Budak seorang ini memang lain dari aku. Aku langsung tidak minat untuk aktif di sekolah, kalau boleh aktiviti kurikulum aku akan elakkan. Tapi Nia, dia suka sangat aktiviti kurikulum. Kelakar pun ada, apabila pulang ke rumah dia sibuk melahirkan rasa kecewanya sebab tidak terpilih sebagai pengerusi rumah sukannya. Undi tak banyak. "Undi untuk Nia 40 orang je Ma..itu pun budak tahun satu yang angkat tangan". Hahaha..aku hanya gelak. Bila dia sibuk bercerita murid-murid tahun satu yang sibuk menjerit-jerit memanggil namanya untuk dicalonkan.

Akhirnya hasratnya untuk menjadi pengerusi berjaya juga apabila dia dilantik sebagai pengerusi untuk kelab bola jaring.  Dan itu pun, sebenarnya........"siapa yang undi Nia jadi pengerusi kelab bola jaring ni?"
"Nia geram sangat, Nia nak sangat jadi pengerusi, jadi Nia angkat tangan beritahu cikgu Nia nak jawatan pengerusi tu". Hah! aku terpana dengan jawapan budak ini. Oh begitu sekali semangatnya. Akhirnya aku memuji tindakannya itu, yang berkeyakinan dan dia tahu apa yang dia mahu serta berusaha untuk memenuhi keinginannya. Kes ini sama seperti kejadian 3 tahun lepas, apabila dia beria-ria memujukku untuk menjadi pengawas. Pada peringkat awal aku memang tidak membenarkannya. Nanti Nia sibuk, itu alasanku. Tapi dia terus memujuk dan akhirnya aku terpaksa akur. Cuma ketika temuduga pengawas itu diadakan, dia demam dan tidak dapat menjawab soalan itu dengan baik, dan akhirnya dia tidak terpilih. Kecewa sungguh dia. Hinggakan dia sanggup merayu kepada guru pengawas itu supaya memilihnya. Begitulah setahun itu berjalan, dia sentiasa berjumpa dengan guru tersebut dan meminta dipilih untuk sesi akan datang. Akhirnya tahun 5 dia berjaya dilantik sebagai pengawas. Seronok tidak terkira. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Entahlah mungkin sebab dia bosan di rumah yang tiada adik-beradik menyebabkan dia suka sangat dengan aktiviti-aktiviti sekolah. 

Dan kini aku pun turut sibuk sama. Masaku di rumah banyak dihabiskan dengan urusan pelajaranku. Jauh di sudut hati rasa amat bersalah. Hari ini, setelah mengambilnya dari kelas tuition aku mengambil kesempatan menyikat dan meletakkan minyak di rambutnya. Berbual-bual dengannya, sebelum dia tidur petang.  Sudah lama aku tidak berbuat demikian. Rindunya...rindu sangat pada Nia. Maafkan mama Nia..segalanya agar Nia menjadi yang terbaik.