Pejam celik pejam celik lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Syawal. Mood raya amat ketara terutama dalam kalangan pelajar dan mungkin sebahagian daripada kita semua. Di bilik-bilik guru juga sibuk menceritakan persiapan raya. Di atas meja sudah mula kelihatan biskut-biskut raya yang di tempah sebelum puasa dahulu.
Kalau sebelum ini aku juga antara orang yang teruja untuk menyambut raya. Selalu memikirkan berapa pasang baju raya aku patut tempah, biskut raya berapa banyak perlu ditempah , kasut raya, dan berbagai-bagai lagi. Namun semua itu mula pudar semenjak 4 tahun lepas. Keterujaanku untuk diri sendiri semakin lama semakin pudar semenjak abah meninggal.
Bukan diselubungi kesedihan yang berpanjangan akibat pemergian arwah abah tetapi tanggungjawab yang perlu digalas menyebabkan aku terlalu sibuk berkira dan merancang kewangan untuk mak dan adik-adik yang pada ketika itu kebanyakannya di bangku sekolah. Jadi keperluan diriku aku terpaksa tolak ke tepi dahulu.
Mengenangkan keadaanku masa mula-mula arwah abah tiada memang agak kalut. Aku sendiri dihurung perasaan bimbang dan celaru. Bimbang duit tidak cukup antara satu perkara yang selalu ada dalam kepalaku. Dulu aku suka sangat mengira duit gajiku ; berapa lagikah yang tinggal untuk sampai akhir bulan, cukup ke ni , dan macam-macam lagi. Sampaikan kadang-kadang ia mencetuskan perselisihan faham dan pergaduhan.
Kelakar pun ada pada ketika itu. Takut sangat duit tak cukup. Hehe...memang amat jahil sangat. Akhirnya aku penat kerana setiap bulan dok fikir pasal duit cukup ke tak cukup. Malah aku rasa rimas dengan kehidupan yang sebegitu. Mujur aku sempat tersedar. Akhirnya aku buat keputusan JANGAN KIRA DUIT lagi!. Apa yang aku lakukan ialah bila terima gaji aku asingkan duit untuk mak dan keperluan adik-adik awal dan yang selebihnya itulah untuk diri dan keperluan keluargaku sendiri , tidak kiralah berapa balancenya. Dan aku pun tak lagi merancang untuk membeli itu dan ini. Aku juga tawakkal. Ya tawakkal la ya puan-puan, sebab kena percaya dengan sungguh-sungguh rezeki tu Allah yang bagi, yang penting kita kena usaha dan selebihnya serahkan pada Allah.
Jadi kini , alhamdulillah adik-adik pun dah semakin dewasa dah ada yang bekerja. Kadang-kadang bila toleh kembali macam tak sangka je aku dapat harung semua itu. Yelah semua perkara yang nak dibuat dan hendak dibeli hanya bersumberkan duit gaji je, bukannya ada ladang getah ke yang boleh ditoreh, atau kerbau lembu ke yang boleh dijual atau sarang burung walit ke yang boleh mendatangkan keuntungan ribu raban.
Cuma di sini aku ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga untuk seseorang. Tanpa keizinan dia, tanpa pengertian dia (walaupun ambik masa, at last boleh faham) aku dapat membantu mak dan adik-adik. Malah dia tidak banyak soal dan tidak mempertikaikan langsung yang duit ku ini banyak mengalir keluar untuk keluargaku. Semoga Allah memberkati dan merahmati dia, mudah-mudahan makin murah rezeki. Terima kasih untuk mr hubby yang memahami.