Sesuai dengan tugasku di pusat sumber atau perpustakaan, buku adalah perkara penting. Pilihan buku di PSS itu kebanyakannya akan dibuat oleh aku. Heheh kadang-kadang memang aku memilih buku yang aku minat aje.
Kali ini aku terpanggil untuk menyentuh serba ringkas tentang dua buah buku yang telah aku baca. Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok dan Travelog Haji: Mengubah sempadan iman. Kedua-duanya ditulis oleh Prof.Dr.Hj.Muhd Kamil Ibrahim. Sebenarnya aku pernah melihat kedua-dua buku ini semasa melayari laman web PTS, tetapi masa itu aku tak hiraukan sangat dan tidak tertarik. Namun ia berubah apabila Kak Umi mengesyorkan buku ini. Lantas tanpa berfikir panjang aku membeli buku ini melalui Kak Umi.
Memang berbaloi sangat! Aku menghabiskan bacaan Meniti Hari Esok. Cara penyampaian bersahaja, ayat yang mudah dan ringkas menyebabkan pembaca tidak bosan dan ingin menyelak helaian demi helaian. Cara penyampaian pengarang ini membuatkan pembaca mudah menghayati dan tersentuh dengan pengalaman-pengalamannya. Amat menginsafkan dan tersentuh hingga ke jiwa.
Begitu juga dengan Travelog Haji, baru dapat membaca separuh sahaja lepas tu adik aku pinjam. Buku ini memberi aku kesedaran tentang kepentingan berdoa, pengaharapan kepada Allah tak kira di mana atau dalam apa jua keadaan. Betapa pentingnya kita sebagai hamba hanya mengharapkan kepada DIA , kerana DIA yang berkuasa, Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Jauh di sudut hatiku terdetik betapa betuahnya Prof ini, diberi keinsafan yang begitu jitu. Diberi kekuatan oleh Allah untuk berjemaah di masjid dan bangun tatkala orang lain dibuai mimpi (2/3 malam).
Betapa betuah dan seronoknya menjadi insan yang terpilih. Bila muhasabah diri terasa betapa nipisnya iman, senipis kulit bawang atau nipis lagi dari kulit bawang. Banyak betul kekurangan diri.Entah bila agaknya boleh menjadikan Islam sebagai cara hidup yang hakiki.
Jadi, kedua-dua buku ini amatlah digalakkan kepada semua untuk membacanya dan memilikinya untuk koleksi peribadi. Bacalah kerana anda tidak akan rugi dan banyak iktibar yang boleh dikutip.