Tuesday, July 20, 2010

Hari Pelaporan

Jumaat 16hb Julai 2010.

Hari pelaporan kali ini agak berbeza kerana pada pandangan peribadiku ada sambutan daripada ibu bapa. Ada beberapa perubahan yang menyebabkan berlakunya sambutan tersebut. Pertama ia diadakan pada hari Jumaat dan ibu bapa boleh membawa anak-anak pulang setelah bertemu dengan guru untuk melihat keputusan peperiksaan dan rekod laporan akademik pelajar. Malah pelajar juga diberi amaran supaya memastikan ibu bapa atau penjaga hadir jika tidak tindakan disiplin akan diambil. Maka kehadiran penjaga memang menggalakkan.

Hari pelaporan ini penting kerana di sinilah ibu bapa atau penjaga boleh mengenalpasti watak sebenar anak-anak mereka ketika di sekolah. Kadang-kala pelajar mempunyai dua watak yang berbeza ketika di rumah dan di sekolah. Ibu bapa sebenarnya perlu mengambil berat dan mengambil tahu tingkah laku anak-anak sewaktu mereka di sekolah. Jadi perlu wujud hubungan yang baik antara guru dengan pihak ibu bapa. Maka hari pelaporan merupakan satu cara yang dapat menjalinkan kerja sama antara guru dan ibu bapa.