Monday, January 31, 2011

sejuk

Hujan renyai-renyai, cuaca yang mendung, mentari yang tidak memunculkan diri...hurmm..menyebabkan kain-kain ku tidak kering. Wah dah 4 hari menjemur baju di ampaian kelembapan baju masih di tahap yang sama seperti baru dikeluarkan dari mesin basuh. Cuaca yang sejuk begini menyebabkan ramai yang suka berlengkar di rumah sahaja, bersama selimut dan bantal. Malah aku sendiri begitu 'ngeri' untuk menyentuh air. Sejuknya!macam air batu. Alah betul aku pada kesejukan. Rasa nak pakai baju dan stokin berlapis-lapis.

Nasib baik dalam kesejukan ini kami dapat cuti seminggu. Itu la untungnya mempunyai masyarakat pelbagai kaum. Boleh tumpang bercuti. Namun yang tak seronoknya, Nia pulak yang tak bercuti. Setakat bercuti 2 hari untuk Tahun Baru Cina tu je.Kalau tidak boleh la balik ke Kemaman. Dah lama tak balik. Rindu betul pada mak.

Dah 12.05 tgh, nak bersiap mengambil Nia di sekolah dan membeli apa-apa yang patut untuk lunch. Beli je..sejuk la nak sentuh air. Sebelum keluar , selamat bercuti untuk anda semua dan selamat menyambut Tahun Baru Cina. 



Sunday, January 30, 2011

Mengemas

Aku lebih selesa mengupdate ceritaku di sini berbanding di facebook. Sebabnya blog ni tak ramai yang tahu , kalau ada pun rakan-rakan yang tahu tak sampai pun 10 orang, dan yang tahu itu pun bukanlah suka sangat membaca blog. Hish..apa punya mukadimah ni..

Sebenarnya, semenjak semalam hinggalah pagi ini aku telah mengemas, mengelap, membasuh dan menukar kedudukan perabot dalam rumah. Bestnya..melihat kedudukan perabot yang dah berubah semacam memberi satu semangat baru. Mesti husband terkejut bila balik nanti semuanya berubah dari kedudukan asal. Teringat bila dia memberi komen padaku satu hari dulu..."orang yang suka mengalih-alih perabot ni, maksudnya mudah bosan dan tak suka kepada satu-satu benda dalam masa yang lama, jangan nak ubah suami sudahlah"Hahaha..aku gelak besar. Alih-alih itu kesimpulan dia.

Aku suka mengalih perabot bukanlah ada maksud yang tersirat. Aku hanya nak membersihkan habuk sahaja.  AKu memang pantang melihat habuk dan memang tersangat alergic dengan habuk. Habuk memang musuh besar. Satu lagi memang dah sifat semulajadi perempuan, tak suka benda yang statik je sepanjang masa. Orang kata nak tukar mood suasana la. Kalau banyak duit nak aje tukar perabot bukan tukar kedudukan je. Harap-harap balik nanti jangan la dia beri komen yang sama. Bukan senang tau nak alih kerusi-kerusi dan meja-meja tu sorang diri. Perlu dibuat dengan berhati-hati sebab bimbang akan memberi kesan kepada belakangku yang dah sedia sakit dan pernah menjalani fisioterapi ni.

Friday, January 28, 2011

merepek.

Baru sahaja selesai menyiapkan ulasan jurnal untuk dibentangkan esok malam. Menaip sambil ditemani cerita hindustan..eee..bukak chanel lain asyik tunjuk cerita seram dan hantu je. Hindustan pun bosan jugak asyik menyanyi dan menari je. Leka menyiapkan tugasan (last minute daaa!!) hingga terlupa janji dengan Ja untuk berjumpa dengannya malam ni. Jumpa malam-malam? Hehe jumpa dalam facebook ler. Alamak, harap-harap minah tu tak lupa meninggalkan kunci rumah di tempat yang dibincangkan. Kalau tak..tak dapat masuk rumah, kena terus balik atau kena cari hotel bajet. Jangan la aku terlupa sms dia esok. Ja..ingat kunci untuk aku...kelas habis pukul 10.00 malam tak larat la nak terus balik walaupun kelas hari Sabtu dibatalkan (yahuuu!!!).

Tiba-tiba perut ni terasa lapar la pulak. Sabar je la. Nak turun ke bawah sorang-sorang...TIDAK. Apasal mata ni tak mengantuk.  Dan tiba-tiba teringat pertanyaan Sree : "Kalau you buat assingment malam-malam husband you temankan ke?" Hahahaaaa...............Oh mata jom la tidur!!! esok aku perlukan tenaga.

Thursday, January 27, 2011

ubat

Hampir seminggu aku merasa tidak sihat hingga perlu menelan ubat-ubatan yang kesannya membuatkan aku begitu mengantuk dan terawang-awang. Teruk betul kesan ubat ni kan..antibiotik serta ubat tahan sakit yang diambil seperti melenyapkan tenagaku, membuatkan aku sentiasa dalam keadaan mengantuk. Bayangkan sewaktu ke Bangi pada Jumaat lepas, aku terpaksa berhenti di R&R Lanchang kerana terlalu mengantuk. Perasaanku ketika itu tuhan sahaja yang tahu, kalau diikutkan rasa nak sahaja minta pertolongan orang yang berhenti di R&R tu supaya memandu keretaku...hehe..nasib baik aku bersabar dan tidur untuk setengah jam. Nasib baik otak masih berfungsi....mana boleh percaya pada orang yang tak dikenali. Masuk kelas method, satu hapa pun tak masuk dalam kepala. Malah aku tersengguk-sengguk mengantuk, blank semuanya. Ni yang aku tak suka makan ubat dan jumpa doktor ni...ubat-ubat tu dah membuatkan badanku semakin lemah. Lepas magrib je terus tidur...tenaga macam disedut keluar. Nasib baik tak berterusan kalau tidak jenuh la...kerja banyak tak siap!

Thursday, January 20, 2011

Hilang tumpuan

Aku bukanlah jenis yang berdisiplin sangat. Termasuk dalam  kumpulan manusia yang tidak boleh melakukan dua kerja dalam satu masa. Sekarang ni aku dah mula rasa bahang-bahang kepenatan, kesibukan , stress dan sebagainya. Minggu yang agak sibuk di sekolah dengan aktiviti sukan di sebelah petang serta mesyuarat yang tidak putus-putus. Menyebabkan seluruh badan mengalami kepenatan melampau. Assingment masih tidak terusik. Sudah beberapa minggu berlalu, aku belum memulakan pembacaan. Aku rasa tak terkejar.

Dan baru aku tahu memandu itu sangat meletihkan!Sendirian memandu menyebabkan aku tidak teruja untuk ke Bangi seperti selalu. Betapa bosannya memandu sendirian. Rasa kejung kaki tangan, penat mata melihat arah papan tanda.Walaupun ditemani GPS, tapi aku masih kurang percaya. Hehe..nasib baik ada suara dari GPS tu.."turn left, turn right, dan blaa..blaa.." yang menemaniku sepanjang perjalanan. Kini aku rasa hilang tumpuan dan minat tidak seperti semester lalu. Jadi sebelum hilang tumpuan itu sampai ke kemuncaknya aku perlu lakukan sesuatu. Memohon cuti belajar sepenuh masa kufikir jalan yang terbaik. Tapi sayangnya nak tinggal sekolah dan budak-budak ni...hahaha ...celaru betul la....

Tuesday, January 18, 2011

Teka-teki

Semalam, aku bangun lewat, 6.50 pagi!!!Sesampai sahaja di sekolah, perhimpunan dah pun bermula. Lambat, sebab tidur lambat menyediakan lembaran kerja untuk 5 Za'aba. Aku dah tak larat menulis soalan di papan putih. Nak menunggu mereka menyalin soalan sahaja seperti menunggu perlumbaan sang Arnab dengan Kura-kura. Ni la kesan sistem KBSM ni, tak macam kami dulu sistem 3M. Semasa sistem 3M kami amat ditekankan supaya menguasai kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira. Ni hah budak sekarang, tengok je la tulisan mereka...huhu...cakar ayam pun kadang-kadang cantik. Lepas tu lambat sangat menulis.

Aku sempat menyediakan 5 lembaran kerja untuk budak-budak ini. Kelas Sejarah yang bermula dari 1.20-2.40ptg...memang mengujakan waktu-waktu puncak seperti itu. Lapar, mengantuk semua dalam satu la jawabnya. Ingatkan 5 helaian tu cukup la hingga pukul 2.40 ptg, memandangkan kelas itu adalah kelas 'hujung' sekali. Tetapi keadaan boleh bertukar rupanya...depa ni tak la teruk sangat .Haha..bila aku ugut sesiapa yang tak siap, maka tak boleh balik pukul 2.40, maka..meluru la mereka dengan bersungguh-sungguh menyiapkan soalan-soalan tersebut. Kepala masing-masing tunduk..mencari jawapan dan membaca. Yesss..best jugak rupanya dapat masa hujung sekali ni..boleh ugut budak..

Wah..rupanya ugutan aku tu benar-benar memberi kesan, pukul 2.10 minit mereka dah siap. Hurmmm...apa lagi mereka pun pot pet sana, pot pet sini..oh..kepala aku mula pusing. Langsung tak boleh beri ruang rehat atau senang budak-budak ni..mula nak buat bising. Tiba-tiba si Amir yang tak suka duduk diam tu..,muncul di depan aku. "Cikgu, kalau kapal terbang jatuh masuk mana", soalnya sambil tersenyum kambing. Ni mesti teka-teki nak mengena la tu.."kapal terbang jatuh masuk mana?", soal aku semula. Saja buat-buat tak tahu, sebenarnya aku tahu. "A'ah, masuk mana cikgu". Tak sabar dia nak mendengar jawapan aku.
"Elehh...saya tahu la, kalau kapal terbang jatuh , masuk suratkhabar la". Hehe..dia macam kecewa je sebab aku tahu jawapan tapi tetap ketawa mendengar jawapanku.

"Cikgu, kalau gajah terbang naik apa?". Ek elehh budak ni, dia ingat aku tak tengok  cerita Upin dengan Ipin. Teka-teki Upin Ipin la ni. " Naik hairan la Amir..naik apa lagi, dah gajah terbang"."Betul cikgu".
Alah..teka-teki senang la Amir. Haha..kadang-kadang aku suka sangat profesion ini, kadang-kadang keletah budak-budak ini boleh membuatkan aku tersenyum seharian. Cuma bila bab malas belajar tu yang membuatkan aku rasa stress. Apa sekalipun aku mahu mereka 'menjadi orang' satu hari nanti.


Tuesday, January 11, 2011

Baca betul-betul

Apa yang menarik perhatianku ketika membelek akhbar seminggu dua ini ialah tentang sesetengah pihak yang mengkritik tentang novel Interlok yang merupakan buku Komsas Tingkatan 5 di negeri Selangor,Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pelik bin hairan betullah...novel yang mempunyai watak-watak kaum utama di Malaysia, yang menonjolkan masyarakat majmuk dikritik dan dikatakan perkauman. Aku rasa mahu ketawa, ketawa berguling-guling. Pihak yang mengkritik dan membakar novel Interlok itu, adakah mereka dah selesai membaca dan menghayatinya?Adakah mereka faham mesej yang hendak disampaikan oleh penulis?adakah mereka mengerti dan memahami setiap bait, patah perkataan yang dilontarkan dalam novel itu.

Tolonglah jangan dipolitikkan novel yang sudah berusia 40 tahun itu (kalau aku tak silap). Baca dan faham betul-betul. Kalau disebabkan perkataan paria yang digunakan yang dikatakan perkauman , maka singkat benar pemikiran sesetengah orang itu. Baca dulu dan faham betul-betul novel ini. Janganlah mudah melatah.

p/s: 1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Monday, January 10, 2011

Kelas hujung

Kalau boleh semua guru ingin memasuki kelas-kelas yang bijak sahaja untuk mengajar. Bila melihat jadual tertera tingkatan 5Zaaba, perkataan pertama yang telintas di dalam kepala aku ialah LETIH. Kadang-kadang aku merasa fobia mengajar kelas-kelas hujung. Fobia sebab tak sanggup menghadapi kerenah yang pelbagai. Semenjak 1999 lagi aku sebenarnya memang wajib mengadap kelas-kelas hujung ni. Bezanya kalau menengah bawah tahap letihnya tidak ketara sangat sebab soalan hanya tertumpu kepada objektif. Tetapi kalau menengah atas..aduh..banyak benda yang perlu  dibuat untuk melengkapkan pelajar-pelajar ini ke arah SPM. Soalan berbentuk esei, struktur dan objekif. Paling bermasalah adalah untuk memahirkan mereka menjawab esei.

Hari ini sahaja aku  merasa mahu rebah. Waktu Sejarah yang diletakkan pada waktu 1.20 hingga 2 petang bukanlah satu waktu yang sesuai untuk mengajar subjek membaca seperti ini. Melangkah masuk sahaja ke kelas tersebut, aku melihat satu barisan pelajar lelaki kosong. Bila ditanya semua ke tandas. Dengan pantas aku menyuruh dua orang pelajar menutup pintu. Biar mereka sedar jangan sewenang-wenangnya keluar kelas beramai-ramai begitu. Namun rancangan aku memang tidak berjaya langsung. Kelas ini memang tidak makan dek saman. Entah macam mana walau pintu telah ditutup dan dikunci tiba-tiba mereka menyerbu masuk beramai-ramai sambil termengah-mengah dan tersengih-sengih tanpa rasa bersalah. Dah la tak bagi salam, tak minta maaf selamba sahaja. Geramnya...

Mengajar bab nasionalisme. Satu bab yang besar dan penting. Sepatutnya aku perlu menerangkan faktor-faktor nasionalisme itu, tapi dengan suasana yang hinggar binggar. Ada yang bercakap, ada yang sibuk berjalan mencari buku, meminjam pen, yang bercakap usah dicakap la.Oh kepala sakit, otak aku pun rasa sakit. Penghabisan cerita aku akhirnya terpaksa memberikan soalan struktur dan mengarahkan mereka menyalin dan memandu mereka mencari jawapan. Oh... itu pun pekerjaan mereka hanya nak meniru sahaja. Sabar je lah....Sakit tekak aku hari ini. Peliknya perangai budak-budak sekarang , umur dah 17 tahun tapi perangai kalahkan budak tadika. Budak tadika pun senang nak kawal. Aduh..otak aku dah beku sebenarnya...



Saturday, January 8, 2011

Catatan hujung minggu.

Akhirnya aku berjaya memandu sendiri ke Bangi. Kali ini mr hubby tak banyak komen, dia membiarkan sahaja dengan cara pemanduanku. Cuma aku sebenarnya amat gerun apabila melalui jalan Karak, yang banyak selekoh dan agak berbukit. Apa sekalipun aku kena hadapinya, semester lepas setiap Jumaat dia mengambil cuti dan Nia terpaksa pulang lebih awal dari sekolah. Nasib baiklah waktu itu hanya subjek Pendidikan Seni, jadi tidak lah ralat sangat Nia meninggalkan kelas awal.

Jadi semester ini aku dengan bulat hati berazam memandu sendirian. Apatah lagi Nia bakal menduduki UPSR, pasti banyak kelas tambahan dan aktiviti sekolah yang perlu diikuti. Cuma masalahnya, mr hubby amat bimbang sebab aku tersangat cepat mengantuk jika berada di dalam kereta. Hehe...jangan risau. InsyaAllah bolehnya.

Semalam, Jumaat aku menghadiri kelas Methodology dan hari ini kelas Teori dan Falsafah Pendidikan Sejarah. Wah..banyaknya assingments...aku dah  mula bimbang. Sekolah lagi. Aduh..rasa takut pulak. Takut tak sempat. Masalah jadual kelas Pedagogi belum lagi selesai. Itu satu hal lagi, kenapa la lecturer tu nak adakan kelas hari Khamis petang. Dah la hari Khamis tu aku ada kelas hingga pukul 2 ptg. Mana sempat. Kesian la pada student part time ni. Mudah-mudahan lecturer itu lembut hati dapat menukar ke hari Jumaat malam seperti yang aku cadangkan. Kalau tidak kena drop la paper tu.

Masalah tempat tinggal pun sudah selesai. Terima kasih banyak-banyak pada Ja, yang mempelawa aku menyewa bilik di rumahnya. Jadi tidak la kelam kelibut aku kena telefon ke rumah tamu UKM yang sentiasa penuh dan akhirnya aku terpaksa mencari hotel. Jadi, semalam aku telah membawa segala keperluan dan tidak perlu lagi terkejar-kejar mengemas baju. Sebahagian baju dan barang-barang penting dah diletakkan di sana. Paling best rumah Ja amat dekat dengan UKM, jadi andaikata aku ada kelas malam tidak la aku takut sangat untuk pulang bersendirian.Jimat pun jimat, Ja begitu baik hati hanya meletakkan sewa yang berpatutan. Jadi aku dah bercadang boleh la aku duduk hingga hari Ahad di sana sebab aku perlu ke perpustakaan untuk mencari bahan bagi projekku.

Alahamdulillah, setakat ini berjalan lancar.  Moga Allah terus memudahkan laluan untukku. Amin....

Friday, January 7, 2011

Sajak Orang Berdosa

Satu kotak buku dari Institut Terjemahan Negara Malaysia menambahkan lagi koleksi buku di PSS sekolah ini. Namun aku amat tertarik dengan sebuah buku puisi yang ditulis A.Wahab Ali. Ini kali pertama aku membaca puisi atau hasil penulisan A.Wahab Ali yang telah dianugerahkan S.E.A.Write Award pada tahun 1994. Sempat aku membaca beberapa puisi dan ternyata ada beberapa puisi yang menyentuh perasaan, yang menyentak naluri kecilku ini.

Doa orang berdosa

Tuhanku
semakin umur melaju
pejal pertahanan
merapuh
tinggal kental hanya
pengalaman
berat dihela
ke hari pertimbangan

tuhanku
akulah manusia berdosa
menyorokkan mukaku
yang mesti kau lihat
kerana semakin aku mencarimu
semakin jauh meninggalkan

tuhanku
kau maha pengasih
hanya akulah pelarian
menjarakkan ruang cinta
yang kau sediakan

tuhanku
hanya kau maha tahu
ampunkan aku dalam taubatku

amin!

1976. 

Sesungguhnya, kita manusia sentiasa melakukan dosa yang tersurat dan tersirat. Semoga Allah mengampuni kita yang selalu lalai dan leka ini.

Jam sudah menunjukkan 10.55 pagi, aku perlu beredar segera, Bangi menggamit diriku. Jumpa lagi!
Semoga anda semua diberkatiNya.

Thursday, January 6, 2011

hilang punca

Penat tetapi mata sukar untuk dilelapkan. Kepala berdenyut-denyut sakit. Apa yang tak kena dengan tubuh badanku ini? Rasa lesu dan tidak bemaya sepanjang masa. Fikiran pula berselirat dan berserabut dengan segala macam perkara. Oh ..kalau boleh kukosongkan apa yang ada dalam fikiranku ini akan aku lakukan seberapa pantas yang boleh. Aku benar-benar ingin tidur dengan nyenyak. Aku amat perlukan rehat. Cukup-cukuplah otak..berhentilah sebentar dari berfikir, aku mahu rehat, aku amat penat, terlalu penat. Dari dahulu hingga kini aku benar-benar penat. Semangat dan kekuatan hilang , rasa amat kosong. Tiba-tiba aku rasa ingin menjerit sahaja.

Wednesday, January 5, 2011

Cekik darah betul!

Selamat Tahun Baru semua. Tidak lewat rasanya walaupun dah 3 hari kita berada dalam tahun 2011. Azam?Masing-masing pasang la azam kalau yang ada azam la. Tapi aku memang tak suka memasang azam. Paling tidak azam yang aku ada ialah nak kuruskan badan, hehe.

Tiba-tiba hari ini rasa mahu menulis di sini. Berminggu aku dilanda perasaan kemalasan, kelesuan, kebosanan, dan bermacam ke dan an lagi. Memang pun aku ni orang yang moody. Kalau tiada mood jangan harap la...rasa nak baring baca buku cerita aje atau berangan (berangan benda yang free...hehe).

Cuma bemula malam semalam aku dah merasa geram tahap maksimum. Asyik-asyik selaras. Kenapa la nak guna perkataan SELARAS. Cehh..konon-kononnya...guna aje la HARGA PETROL NAIK!. Baru sahaja 1 Dis 2010 naik 15 sen, ni naik 10 sen lagi. Masya Allah..memang la aku marah sangat sebab aku pengguna RON97. Semua tanya kenapa tak guna RON95? Haha..guna RON95 tu...kereta cute aku tu mengaum macam tak cukup makan..tersedak-sedak macam tak cukup air.

Hello! nak beritahu sikit kepada sesiapa yang berkenaan. Bila harga petrol naik maka segala mak nenek barang pun naik. Orang-orang yang berkenaan ni biasa ke pergi ke pasar beli ikan, beli cili, beli sayur, beli beras dan segala-galanya. You all tahu ke macam mana rasa nak tercekiknya bila melihat harga-harga ni dari masa ke semasa. Hermm...you all ni bukan pergi pasar pun..mana tahu ...memang tak tahu kesusahan orang bawahan.

Minta maaf la..lepas ini memang aku akan terus pergi ke bulan dan bintang, sebab segala-galanya macam cekik darah je....

Pagi-pagi dah rasa marah..hehe tak baik untuk kesihatan.