Hari ini agak lewat pulang ke rumah, hampir pukul 4 petang. Sebaik meletakkan kunci dan beg tangan di atas meja kayu di ruang tamu mataku tertancap pada sekeping kertas bersaiz A4 yang tertera jadual ujian pencapaian sekolah rendah 2011 atau bahasa ringkasnya UPSR. Aku hanya menjeling sambil lalu kerana mahu menyimpan barang-barang yang dibeli di dapur terlebih dahulu.
selesai menukar pakaian dan mencapai buku untuk dibaca aku lantas memandang jadual tersebut. Baru terfikir untuk mencapai dan melihat subjek apa yang akan anak daraku itu akan hadapi terlebih dahulu. Sudah kelihatan di atas jadual itu Nia telah menggunakan highlighter pen berwarna kuning untuk setiap tarikh dan subjek.
Melorot ke bawah jadual peperiksaannya, mataku melihat sebaris ayat yang menggunakan highlighter tersebut "Paksalah Nia buat kerja rumah kerana nak buat amal ibadat supaya dapat pahala dengan menolong ibu bapa yang tersayang". Bercampur baur perasaan antara sedih , sayu dan gembira. Akhirnya Nia faham juga peranan seorang anak, erti keberkatan hidup ini. Walaupun bukan keseluruhannya namun aku yakin anakku itu faham untuk mencapai kejayaan bukan sahaja perlu bergelumang dengan buku, sekolah , tuition dan sebagainya malah membantu ibu bapa itu dapat membawa kejayaan dalam kehidupan kerana keberkatan yang akan dicapainya.
Apa yang Nia tulis itu sebenarnya itulah yang telah kulaksanakan semenjak di bangku sekolah lagi. Kata-kata ustazah ketika di sekolah masih terngiang-ngiang "kalau nak berjaya dalam hidup kena bantu ibu bapa, kena buat baik pada ibu bapa". Itulah prinsip yang kupegang sehingga kini, malah aku penuh yakin dan percaya Allah akan memberi ganjaran kepada hambanya yang berbuat baik pada ibu bapa. Dan alhamdulillah kata-kata ustazahku itu benar.
Kini anakku pula memahami konsep dan prinsip yang sama yang aku amalkan. Aku pasti Nia sengaja meletakkan jadualnya yang berisi pesanan itu di atas meja yang menjadi tumpuan ku dan abahnya meletakkan kunci dan beg. Aku amat bersyukur, lega , gembira dan bangga , pesanan Nia itu merupakan 'keputusan peperiksaan' yang lebih cemerlang daripada keputusan 5A yang sedang Nia buru sekarang.
2 comments:
moga Nia capai 5A tuh... insyaAllah
InsyaAllah doakan lah..
Post a Comment