Thursday, January 21, 2010

Terima Kasih.

Tidak ramai yang mengetahui aku mempunyai blog dan aku tidak bercadang untuk memberitahu semua rakanku. Blog ini sebenarnya satu medan utk melepaskan penat lelah, tekanan dan kebosanan.(Huhuuuu jiwang karat betul). Apa yang penting ia untuk dijadikan tatapan untuk anakku. Walaupun dia selalu membaca di blog ini tetapi dia masih tidak mengetahu apa yang tersirat dan tersurat. Dia selalu berkata"mama ,nia bukak blog mama,tunjuk pada kawan-kawan." Hehhehe budak-budak sebenarnya bukan baca pun ayat berjela-jela ni. Cuma dia suka membaca cerita lucu yang aku dan dia upload dari sebuah laman.
Namun dunia cyber ini telah memberiku pengalaman yang tidak boleh kubeli atau kudapat di mana-mana. Ada baik dan buruknya jika sesiapa yang meminati dunia ini. Baiknya kita akan dapat menambah kenalan. BUruknya ? Jaga-jaga rumahtangga boleh binasa! hahahhaha dan ada yang 'fake' terutama kalau kita mempunyai kenalan chating. Jangan percaya semuanya! Kadang-kadang bila mengenang kali pertama aku berchating ni aku hanya senyum sendirian, betapa naifnya. Itulah pengalaman.
Apapun aku juga mempunyai pengunjung yang setia, NUR dan UMMU MASYITAH! Terima kasih banyak-banyak sebab sudi membaca luahan kak zai yang kadang-kadang lebih banyak merapu. Walaupun kak zai tidak selalu memberi komen dalam blog Nur dan Ummu tetapi setiap posting yang baru kak zai akan baca. Kalau tidak disebabkan 'kesewelan' broadband pasti kak zai akan memberi komen untuk semua posting. Dan untuk sesiapa sahaja yang mungkin 'bersembunyi' di sebalik daun atau celah-celah pokok, terima kasih kerana sudi singgah.

Spoon Feed 2

Teringat kembali perbualanku bersama seorang rakan rapat yang telah menjadi pensyarah, "apa yg u all buat pada student, tak tahu berdikari langsung". Aku hanya gelak mendengar luahan hati dia tentang pelajar-pelajar walaupun cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi dalam aspek lain masih tidak bijak. "atas kertas aje, straight A tapi nak ke library pun takut, tak tahu nak cari bahan semua mintak ngan lecturer", sambung kawan aku lagi.
"Spoon feed, macam ko suap nestum ke mulut anak ko yang baby", akhirnya aku menjawab. Itulah hakikatnya yang terjadi di sekolah. Mengapa wujud situasi 'spoon feed' itu? ramai la yang menunding jari menyalahkan guru. Guru tak pandai guna kaedah itu ini, guru hanya 'chalk and talk', guru itu dan guru ini..bla..bla...
Tarik nafas dalam-dalam. Ramai yang tidak menyedari akan hakikat sistem pendidikan kita yang terlalu terikat dengan peperiksaan. Setiap subjek mempunyai silibus atau sukatan pelajaran yang perlu diselesaikan sebelum peperiksaan percubaan lagi. Mahu atau tidak guru perlu menyelesaikan semua silibus itu selewat-lewatnya sebelum bulan Ogos.
Jadi apa yang berlaku guru akan menyediakan segala-galanya untuk pelajar seperti nota, peta minda, soalan. Malahan ada guru yang membawa pen atau kertas untuk diberi kepada pelajar yang sering memberi alasan tidak membawa pen atau buku. Begitulah hakikatnya, disebabkan guru sebenarnya bosan dengan pelbagai alasan pelajar jadi untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar maka guru menyediakan semua itu. Namun begitu apa yang dinyatakan di sini mungkin tidak berlaku di semua tempat. Bergantung kepada lokasi dan latar belakang keluarga pelajar.

Sunday, January 17, 2010

Spoon Feed

Sebenarnya, aku tidak pernah membicarakan tugas seorang guru secara detail di dalam blog ini. Hari ini aku merasa terpanggil untuk menceritakan dunia guru yang dianggap "separuh hari" oleh kebanyakan orang di luar sana.
Sebenarnya tiada istilah "separuh hari", bebanan kerja itu perlu di bawa sehingga ke rumah untuk diselesaikan. Begitulah rutin setiap hari. Itu belum ditambah dengan "clerical work" yang saban waktu perlu diselesaikan. Malah guru kini bukan dibebani dengan kerenah anak murid di dalam kelas turut sama dibebani dengan kerenah ibu bapa.
Bersambung......hehhehe tiba-tiba mengantuk

Friday, January 15, 2010

Bicara 2010

Agak lama menyepi. Bukan tiada cerita tetapi hanya tiada mood ditambah dengan kesibukan pada awal tahun. Tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, cuma yang berbeza aku kini sudah mula membuat BBM untuk para pelajar. Kenapa? sebab aku mahu segalanya berjalan dengan lancar dan tidak mahu memberi peluang kepada pelajar untuk membuat bising atau merasa bosan.
Paling ketara, aku telah membawa balik buku Rancangan Mengajar untuk disiapkan di rumah. Hahhaha kak Umi terkejut! " Zai, bawa balik buku ni".Hehhehe aku tersengih sahaja sambil menyatakan pada kak Umi aku benar-benar mahu bersedia sebelum masuk ke kelas. Tidak lagi terkial-kial seperti dahulu.
Tapi mengapa tahun ini setelah hampir 12 tahun? Hurmmm...sekurang-kurangnya kesedaran itu penting walaupun lewat tetapi masih belum terlambat. Sekian, salam tahun baru untuk semua.

Saturday, December 12, 2009

Tidak pernah terjangkau

Sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiran ku ini.Subhanallah. ..
Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah.'
Dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Ke-Agungan Allah S.W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W.Proses ini akan bergerak kearah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam.
Belumpun laungan Azan dimerata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia.Berikutnya di-Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di-Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh.Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.Perbezaan waktu dikota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan.
Belum berakhir di-Pakistan, Azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat.Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq.Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik.Jarak masa Azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam.
Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan tidak putus-putus.Allahu Akhbar!

Thursday, November 19, 2009

Plain Jane


"Plain Janes always make beauties look more beautiful", ayat-ayat yang aku ambil dari sebuah novel yg bertajuk Plain Jane. Ayat itu membawa aku ke menerawang tentang diriku ketika zaman kanak-kanak dan remaja.


Aku selalu menganggap diriku sebagai Plain Jane sehinggakan aku mendapat penyakit inferiority complex. Ramai yang tidak tahu aku mempunyai masalah itu. Zaman remaja aku sedikit hambar kerana penyakit dalaman ku itu.


Ketika itu keyakinan diri langsung tiada. Dalam fikiran hanya ada perasaan malu yang tidak bertempat dan sering merasa diri tersisih. Apatah lagi berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana. Aku pernah dicop sebagai anti lelaki kerana sifatku yang kurang berkomunikasi dengan lelaki dan garang dengan lelaki. Hahhaha sampai kini pun bila bertemu semula rakan-rakan sekolahku di dalam FB mereka amat mengingati karekterku yang satu itu. " Zai, kau dulu masa sekolah garang sangat", itu la komen mereka.


Mereka tidak tahu yang sebenarnya aku merasa rendah diri untuk bergaul, terasa tidak ada keistimewaan langsung yang dapat menarik perhatian mereka. Aku begitu gusar jika aku ini amat membosankan, jadi jalan selamat aku menjadi orang yang pendiam.


Namun Plain Jane juga mempunyai keinginan yang berkobar untuk keluar dr kepompong kesederhanaan itu, mempunyai naluri ingin menjadi popular. Seiring dengan masa dan kedewasaan aku mula berubah watak. Seingat aku ketika usia 19 tahun di tingkatan 6 atas aku mula meningkatkan keyakinan diri dan cuba menjadi orang yang lebih positif. Ternyata perubahan itu membawa keceriaan kepadaku dan memberi aku satu semangat juang.


Pun begitu dalam usia sebegini aku merasakan aku suka menjadi Plain Jane dan kini aku mengerti setelah memerhati, setelah merasai dan setelah melalui aku amat suka dengan kesederhanaan kerana Plain Jane itu sebenarnya mempunyai keistimewaan dan keunikan yg tersendiri.


Sunday, November 1, 2009

Hikmah 5 Jari


Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.


Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentu buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.


Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??


Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat.


Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang???