Friday, April 2, 2010

Seorang Liana

Ketika majlis penyampaian sijil penyimpanan kira 2008.

Sebagai anak sulung aku memahami karakter setiap adikku. Dalam ramai-ramai adikku dia lain dari yang lain. Semenjak kanak-kanak lagi aku merupakan guru tidak formalnya. Akulah yang mengajarnya ABC, membaca dan mengira, membantunya ketika menyiapkan kerja sekolah.Di situ aku tahu di mana tahapnya. Kadang-kadang aku sendiri hilang sabar mengajarnya. Walaupun begitu dalam ramai-ramai dia jarang melawan, anak yang amat patuh dan penampilannya lebih islamik berbanding kami kakak-kakaknya. Satu karakternya yang ketara ialah sikap sensitifnya.


Namun yang paling mengkagumkan aku ialah sikapnya yang kuat berusaha, seorang yang gigih. Dia bukanlah seorang pelajar yang bijak, jauh sekali cemerlang. Tahapnya amat sederhana. Setiap kali keputusan peperiksaan keluar seperti UPSR, PMR dan SPM, kami tidak pernah mengkritik atau memarahinya kerana kami semua tahu di mana kedudukannya. Namun ada yang boleh dibanggakan dengan keputusan SPM nya apabila subjek matematiknya mendapat gred A.

Kesungguhan dan ketekunannya amat terserlah. Kadang-kadang jatuh kasihan melihat kesungguhannya mengulangkaji pelajaran. Perasaan terharu juga dirasai bila dia saban malam melakukan solat sunat hajat. Tiap kali peperiksaan ketika di sekolah atau di Politeknik dia pasti menelefon emak dan meminta emak melakukan solat hajat untuknya. Aku pernah berpesan padanya bahawa dia perlu menjadi orang yang sangat kuat, rajin dan tekun beribu kali ganda dari orang lain jika dia mahu berjaya. Alhamdulillah dia melakukannya.


Pendakian untuk mencapai cita-citanya ibarat mendaki dari satu anak tangga ke satu anak tangga. Tamat SPM, aku menyuruhnya memohon politeknik, dia berjaya mendapatkan tempat di Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah. Setelah mendapat sijil penyimpanan kira di POLISAS itu, dia sekali lagi berjaya melanjutkan pelajarannya di peringkat Diploma Perakaunan di Politeknik Seberang Perai. Hasratnya yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi (semoga Allah memakbulkan).
Aku terpanggil menulis tentangnya kerana sikap kesungguhannya itu, aku sendiri tidak mempunyai sikap begitu. Dia adalah bukti bahawa kerajinan dan kesungguhannya sebenarnya adalah faktor penting untuk berjaya, bukanlah disebabkan kepandaian atau kecerdikan.
Akhir kata "Syabas Ana!"

4 comments:

Idi said...

Salam Zai,
Liana ni yg mana satu ek? Aku dah lupa la. Aku sempat kenal tak adik ko yg ni?

hikayathati said...

Hehe, aku rasa ko tak kenal kot adik aku yang ni.

ummu said...

salam kak zai

adik akak dalah contoh remaja yang gigih kan kan. meski perjalanannya satu persatu, namun yang penting, akhirnya sampai jua ke puncak.begitulah dalam kehidupan ni kan kak.

hikayathati said...

Betul tu ummu, dlm hidup ini apa yg perlu ditekankan pada pelajar kita dan diri kita sendiri adalah jgn berputus asa, ibarat belakang parang, lama2 diasah akan tajam juga.